Wednesday, January 15, 2014

JENIS-JENIS VISUAL..



Visual terbahagi kepada dua jenis iaitu visual tayangan dan visual bukan tayangan.Visual tayangan adalah seperti transperensi dan OHP, projektor slaid, kamera video serta video dan televisyen. Manakala visual bukan tayangan adalah seperti carta, poster, papan tulis dan model.


Visual atau media tayangan seperti transperensi dan projektor overhead adalah alat bantu mengajar bagi membantu guru mencapai pengajaran yang efektif. Pelajar akan lebih cepat menerima pelajaran dengan melihat, mendengar dan melakukannya. Ini hanya dapat dilakukan dengan menggunakan OHP dan transperensi yang rapi dan sistematik oleh pihak guru. Menurut Kemp (1980), penggunaan transperensi dapat menyampaikan maklumat pengajaran yang mengandungi konsep, langkah–langkah pengajaran dan fakta–fakta rumusan kepada kumpulan sasaran kecil hingga kumpulan sasaran besar. Heinich (1996) sependapat dengan Kemp bahawa penggunaan transparensi dapat menerangkan topik pengajaran yang kompleks dengan menggunakan teknik transparensi bertindih overlays.


Projektor slaid adalah satu lagi jenis media yang biasa digunakan bagi tujuan menyampaikan pengajaran. Kepingan slaid boleh dihasilkan sendiri oleh guru. Kemudahan ini telah berjaya membawa pengukuhan dalam bentuk realiti di layar perak. Gambar–gambar seperti planet, lautan, bahagian dalam jentera dan objek–objek lain yang sukar untuk diperlihatkan, dapat ditayangkan dalam bilik darjah. Terdapat beberapa jenis projektor slaid seperti jenis manual, separuh automatik dan automatik sepenuhnya.


Video dan televisyen adalah satu–satunya bahan teknologi moden yang telah berjaya mempengaruhi sistem pengajaran dan pembelajaran. Ramai penyelidik telah menjalankan kajian mengenai penggunaan televisyen untuk pengajaran dan pembelajaran. Menurut schramun (1962), murid – murid dapat belajar dengan cekap menerusi televisyen pendidikan. Menurut Wittich dan Schuller (1973), televisyen banyak pendidikan telah banyak mengatasi masalah pengalaman pembelajaran murid.


Bercakap mengenai video, ia bermaksud menggunakan pita video dan perakam video ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Perakam video pula merupakan alat menjanakan pita video. Kelebihan menggunakan perakam video untuk pengajaran ialah gambar dan bunyi atau suara boleh disiarkan serentak.


Media visual bukan tayangan seperti carta telah digunakan untuk menunjukkan sesuatu idea atau konsep dengan cara visual. Carta didapati amat penting, terutama dalam menerangkan sesuatu konsep atau idea. Penerangan sesuatu idea atau konsep secara lisan sahaja tentu tidak memuaskan dan kurang daya tarikan.


Carta yang dianggap efektif adalah carta yang berjaya menggabungkan pelbagai jenis visual seperti gambar, lukisan, kartun, graf, gambar rajah dan bentuk – bentuk garisan. Ada pelbagai jenis carta, diantaranya ialah carta aliran, carta pohon, carta jadual, carta masa dan lain – lain. Dalam membuat pemilihan jenis – jenis carta, guru haruslah memilih yang sesuai untuk tujuan pengajaran. Carta – carta yang biasa digunakan dalam pengajaran ialah carta pohon, carta aliran, carta jadual dan carta pengalaman.


Poster digunakan untuk menyampaikan maklumat, penerangan dan pengetahuan. Penerangan menggunakan poster adalah mudah dan cepat. Poster yang tertampal di bangunan dan tepi jalan raya nampak cantik dan menarik kerana ia dibuat mengikut elemen – elemen grafik yang baik dan sistematik. Poster juga digunakan oleh syarikat pengeluaran barangan untuk tujuan mempromosi produk dan digunakan oleh kementerian pendidikan untuk tujuan menyampaikan penerangan, tunjuk ajar dan nasihat kepada pelajar – pelajar.


Papan tulis atau papan hitam yang digunakan dengan cara yang betul dan sistematik akan dapat menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Ia digunakan meluas dan guru haruslah mengambil kira peranan yang dapat dimainkan oleh papan tulis sebelum memulakan sebarang pengajaran. Bagi Brown (1969), guru yang berkebolehan dan cekap selalunya mengambil berat penggunaan papan tulis supaya ia benar – benar efektif.


Model ialah bahan tiga dimensi yang mewakili struktur, rupabentuk dan menjelaskan bagaimana sesuatu (misalnya mesin) berjalan. Terdapat tiga jenis model, antaranya ialah model berskala, model potongan dan model olok – olok. Kebaikan menggunakan model adalah kerana ia mempunyai bentuk tiga dimensi yang boleh dilihat, ia boleh dibesarkan atau dikecilkan mengikut kesesuaian penglihatan, ia boleh menunjukkan objek yang tersembunyi atau tertutup malah ia boleh menunjukkan ciri – ciri yang penting. Disamping itu juga, model boleh memuatkan objek sebenar yang kompleks dan boleh dibuka dan dipasang semula. Model akan membantu pengajaran dan pembelajaran didalam kelas lebih baik, menarik dan fleksibel.


Imej pegun dan imej bergerak adalah sebahagian daripada visual. Contoh-contoh ilustrasi adalah seperti gambar, carta, graf dan gambarajah. Penggunaan imej pegun dan imej bergerak adalah lebih mudah difahami selain dapat memberikan arahan yang membolehkan seseorang berfikir dengan lebih berkesan.


Imej pegun (static visual) adalah seperti gambar atau ilustrasi yang menyampaikan sesuatu maklumat atau informasi. Imej pegun digunakan apabila maklumat yang ingin disampaikan sukar untuk dijelaskan dengan hanya menggunakan perkataan. Contohnya seperti carta, peta minda dan graf. Graf, carta dan visual lain boleh menerangkan banyak perkara dalam masa yang singkat.


Dengan berpandukan graf, pelajar dapat memahami sesuatu dengan hanya melihat tanpa memerlukan penjelasan yang terperinci daripada guru. Ini adalah kerana, graf mengandungi hanya maklumat penting yang perlu diketahui oleh pelajar. Graf amat sesuai digunakan untuk mata pelajaran berkaitan statistik dan matematik. Ini kerana, graf tidak memerlukan huraian dengan ayat yang banyak. Hanya isi-is penting sahaja yang ditulis di dalam graf.

No comments:

Post a Comment